KPDN Rampas Barang Kawalan Disimpan Secara Haram Di Genting Highlands

07/09/2024 08:51 PM

KUANTAN, 7 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merampas pelbagai barang kawalan dipercayai disimpan secara haram untuk tujuan perdagangan di sebuah premis di Genting Highlands semalam. 

Pengarahnya Jezlily Jamaluddin berkata antara dirampas dalam serbuan kira-kira 12.30 tengah malam itu ialah 39 tong gas petroleum cecair (LPG), 272 kilogram (kg) minyak masak peket dan 168 kg gula pasir bertapis kasar dengan keseluruhan dianggar bernilai RM2,196.20. 

Beliau berkata serbuan oleh empat anggota KPDN itu dijalankan selepas menerima aduan daripada pengguna berkaitan aktiviti penjualan dan penggunaan LPG tanpa lesen oleh syarikat dipercayai dimiliki warga asing.

“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu adalah milik warga tempatan dan bukannya warga asing seperti diadukan. Turut dirampas ialah dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan selain daripada premis yang dilesenkan oleh Pengawal Bekalan.

Jezlily berkata KPDN Pahang telah menerima 869 aduan daripada pengguna setakat semalam, dengan 10 peratus daripadanya melibatkan aduan berkaitan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah menghasilkan dua kes. 

“Keseluruhannya lebih 97 peratus aduan diterima telah selesai disiasat. Pihak KPDN mengalu-alukan pengguna untuk menjadi ‘mata dan telinga’ serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan peniaga kepada KPDN,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan