Pengalihan DNS Tidak Jejas Aktiviti Internet, Sekat Laman Web Langgar Undang-undang - MCMC

07/09/2024 08:58 PM

CYBERJAYA, 7 Sept (Bernama) -- Arahan terhadap penyedia perkhidmatan Internet (ISP) untuk mengalihkan trafik perkhidmatan nama domain (DNS) yang menggunakan pelayan DNS pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri tidak akan menjejaskan, mengganggu atau menyekat pengguna daripada melayari laman web yang sah. 

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen berkata laman web yang terkesan dengan tindakan itu ialah laman web yang menyalahi undang-undang Malaysia, menyebabkan sekatan dikenakan supaya tidak dapat diakses rakyat Malaysia. 

"Laman web yang tidak mempunyai kandungan yang berbahaya, tidak mempunyai sebarang isu, masih boleh diakses seperti biasa. Pelaksanaan arahan ini bertujuan melindungi pengguna daripada akses kepada laman web yang memiliki kandungan dalam talian berbahaya. 

"Sekatan terhadap laman web yang menyalahi undang-undang juga bukan perkara baharu, sebaliknya telah dibuat (sejak) tahun-tahun dahulu. Apa dilakukan kini ialah pemantapan bagi menghalang akses yang membolehkan orang melihat kandungan menyalahi undang-undang," katanya pada sesi penerangan isu sekatan DNS di sini hari ini. 

Sebagai contoh, Mohamed Sulaiman berkata MCMC telah menyekat 24,277 laman web sejak 2018 atas pelbagai kategori kesalahan seperti judi dalam talian iaitu 39 peratus, kandungan pornografi atau lucah (31 peratus), pelanggaran hak cipta (14 peratus) dan pelaburan menyalahi undang-undang atau penipuan (dua peratus). 

DNS ialah sistem yang direka bentuk untuk menukar alamat laman web kepada alamat IP berangka bagi mencari laman web di Internet manakala ISP biasanya mengendalikan pelayan DNS mereka sendiri yang boleh dikonfigurasikan untuk menyekat akses ke laman web atau domain tertentu berdasarkan kandungannya iaitu suatu kaedah yang biasa digunakan untuk melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya.

Mengulas mengenai persepsi dan kebimbangan mengenai privasi pengguna terjejas akibat pelaksanaan arahan itu, Mohamed Sulaiman berkata MCMC tidak mempunyai visibility (kebolehlihatan) terhadap aktiviti pelayaran Internet, mahupun tindakan itu akan menjejaskan kelajuan Internet. 

"Pengalihan ini melibatkan ISP masing-masing, tiada sebarang talian kepada MCMC. Sebagai contoh, jika orang itu ialah pelanggan kepada Telekom Malaysia (TM) maka mereka akan dialihkan kepada TM … dalam hal ini, MCMC tidak terlibat dan kita tidak ada apa-apa maklumat. 

"Berkaitan kelajuan, DNS berfungsi menukar alamat laman web kepada alamat IP berangka untuk mencari dan menghubungi laman web yang ingin dilayari. DNS tidak ada kena-mengena dengan isu kelajuan Internet kerana ia dikendalikan ISP," katanya. 

Arahan berkenaan yang perlu dilaksanakan bermula 30 Sept ini menyebabkan terdapat segelintir berpandangan tempoh masa yang diberikan adalah suntuk, namun Mohamed Sulaiman memaklumkan tindakan menyekat laman web sedemikian telah dilakukan sejak lama dahulu, selain telah dimaklumkan kepada ISP tahun lepas. 

"Kita telah memberi taklimat kepada ISP pada hujung tahun lepas dan mereka juga telah buat ujian secara pilot. Kita beri tempoh hingga hujung bulan ini untuk buat pelaksanaan terakhir. Jadi, kita sudah mula lama, bukan baharu," katanya. 

Mohamed Sulaiman berkata walaupun tempoh pelaksanaan bermula hujung bulan ini, namun penambahbaikan masih boleh dilakukan secara berterusan kerana tujuan utamanya adalah untuk melindungi rakyat terutamanya kumpulan yang terdedah daripada kandungan dalam talian yang berbahaya. 

Ditanya sebab arahan pengalihan DNS perlu dilakukan, mengambil kira Malaysia akan menguatkuasakan pelesenan perkhidmatan media sosial pada Januari tahun depan iaitu berbaki empat bulan sahaja lagi, Mohamed Sulaiman berkata kandungan (berbahaya dan menyalahi undang-undang) berada dalam banyak format atau platform dengan kebanyakannya ialah media sosial.

“Namun, kita dapati ada juga kandungan seperti ini pada laman web yang perlu disekat bagi melindungi kumpulan yang mudah terdedah," katanya. 

Mohamed Sulaiman berkata definisi kandungan berbahaya juga bukan ditakrifkan oleh MCMC semata-mata sebaliknya bergantung pada pemilik-pemilik bidang kuasa terlibat, seperti akta hak cipta di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Mereka yang akan menilai dan mempunyai pakar sendiri. Apabila mereka dapati ada laman web yang mempunyai kandungan menyalahi undang-undang, mereka yang akan membuat keputusan. Kementerian Kesihatan sebagai contoh, boleh melihat penjualan ubat yang tidak didaftarkan atau berbahaya kepada kesihatan. Masing-masing ada kuasa, akta sendiri," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan