KPDN Kelantan Tahan Lelaki Cuba Seludup Keluar Minyak Masak, Gula

07/09/2024 11:14 PM

KOTA BHARU, 7 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan selepas disyaki cuba menyeludup keluar 374 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi bernilai RM935 dan 264 kg gula pasir kasar bernilai RM910.80 hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata tangkapan dilakukan dalam Operasi Bersepadu KPDN dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di Kampung Pasir Puteh, Cabang Empat, Tumpat pada 7.30 pagi ini.

“Semasa operasi tersebut seorang lelaki yang dilihat mencurigakan telah ditahan di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Perodua Kancil diletakkan berdekatan menemukan barangan bersubsidi berkenaan yang disyaki mahu diseludup ke Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan sebanyak RM6,845.80 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan