RXZ Members 6.0: Patuhi Peraturan Jika Mahu Anjur Lagi Tahun Depan - Polis

09/09/2024 04:03 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Sept (Bernama) -- Penganjur dan peserta Program RXZ Members 6.0 yang akan berlangsung pada Jumaat dan Sabtu ini perlu mematuhi peraturan serta syarat ketat yang ditetapkan pihak berkuasa sekiranya mahu program itu diteruskan pada tahun depan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata pihaknya telah memberi garis panduan yang jelas kepada penganjur menerusi empat siri mesyuarat penyelarasan bersama jabatan lain termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Beliau berkata antara peraturan yang perlu dipatuhi ialah memastikan penunggang motosikal memiliki lesen memandu dan cukai jalan; kenderaan tidak diubah suai secara fizikal yang menyalahi undang-undang serta plat motosikal mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Selain itu pastikan juga ekzos motosikal tidak diubah suai dan peserta diberi peringatan jelas supaya berhenti di setiap sekatan jalan raya yang dibuat.

"Sekiranya berlaku pelanggaran mungkin kita boleh ambil kira (tidak meneruskan pemberian permit) walaupun sudah kali ketujuh penganjuran," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat penyelarasan penugasan Program RXZ Members 6.0 di sini hari ini.

Mohd Khairi berkata sebanyak 101 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang dua hari program berlangsung.

Beliau berkata rondaan di kawasan perumahan dan sekatan jalan raya juga akan ditingkatkan terutama di bandar raya ini yang menjadi lokasi penganjuran.

"Kali ini dijangka 80,000 peserta RXZ Members 6.0 akan berkampung di Terengganu. Kita dalam tempoh pelaksanaan operasi khas motosikal seperti yang diarahkan Bukit Aman.

"Untuk program RXZ Members 6.0 ini, kita akan jalankan operasi di kawasan perumahan dan tingkatkan sekatan jalan pada waktu siang dan malam di Kuala Terengganu. Sebanyak 50 anggota JPJ turut bertugas memastikan keselamatan," katanya.

Menurut Mohd Khairi empat kemalangan maut melibatkan peserta Program RXZ Members 5.0 dicatatkan pada tahun lepas, sehubungan dengan itu, beliau meminta peserta lebih berhati-hati terutamanya di LPT2.

"Kita juga keluarkan 292 saman dalam operasi khas motosikal tahun lepas yang melibatkan pelbagai kesalahan," katanya.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan