Kastam Pahang Rampas Rokok Seludup, Lori Bernilai Lebih RM1.5 Juta

09/09/2024 04:28 PM

BENTONG, 9 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas rokok pelbagai jenama dan sebuah lori dianggarkan berjumlah lebih RM1.5 juta dalam serbuan di kedai di Taman Perindustrian Tanjung Minyak Perdana dekat Melaka Tengah, Melaka.

Pengarah Kastam Pahang Mohd Asri Seman berkata serbuan sekitar 10.30 malam pada 27 Ogos itu dilaksanakan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Bentong selepas menerima maklumat risikan.

"Hasil pemeriksaan dibuat di dalam premis itu, kita menjumpai rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tidak berkastam dan sebuah lori  bermuatan rokok tidak memenuhi kriteria.

"Rampasan rokok berjumlah 1,812,000 batang itu dianggarkan bernilai RM157,440 dan melibatkan jumlah duti dan cukai RM1,211,664," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Cawangan Penguatkuasaan di sini hari ini.

Mohd Asri berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,519,104.

Mohd Asri berkata rokok terbabit dipercayai datang dari beberapa negara dan diseludup masuk melalui jalan laut di Selat Melaka.

"Tiada tangkapan dilakukan semasa kejadian dan kita masih menyiasat pemilik kedai dan lori terlibat bagi mengenal pasti siapa dalang di sebalik rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak berkastam ini.

"Kita percaya mereka menggunakan kedai itu bagi menyimpan barang seludup dan lori untuk bergerak aktif pada waktu puncak bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan