Saman 1MDB: Jho Low Pindah US$2.4 Juta Wang 1MDB Ke Akaun Selebriti Hollywood

09/09/2024 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah menggunakan syarikat samaran miliknya, untuk memindahkan sejumlah US$2.4 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun bank selebriti Hollywood Pharrel Williams dan Kim Kardashian.

Penyiasat penipuan kewangan Richard Templeman dari United Kingdom berkata siasatannya mendedahkan bahawa 1MDB telah memindahkan USS$1.03 bilion untuk manfaat Jho Low melalui syarikatnya, Good Star Ltd.

“Dana ini telah dipindahkan melalui beberapa syarikat luar pesisir dan digunakan untuk, antara lain, manfaat peribadi konspirator bersama dan saudara-mara dan sekutu mereka,” katanya dalam kenyataan saksinya pada kes saman US$6.59 bilion difailkan 1MDB terhadap bekas pengarahnya Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas presiden Arul Kanda Kandasamy.

Templeman berkata daripada US$1.03 bilion yang masuk ke dalam Good Star daripada 1MDB, US$2,025,000 telah dipindahkan daripada Good Star ke dalam akaun Suntrust Bank atas nama Talamasca Inc.

“Transaksi antara 11 Ogos dan 17 Nov 2011 membawa butiran pembayaran seperti ‘sebahagian bayaran untuk produksi muzik’ dan ‘Surat Perjanjian DD 3 NOV 2011 Red Spring Investment And Talamasca/Pharrell Williams’.

“Saya ambil maklum bahawa maklumat yang tersedia secara umum menghubungkan Talamasca Inc dengan pemuzik Pharrell Williams. Saya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai pemindahan dana ini,” katanya.

Templeman berkata sejumlah US$306,000 telah dipindahkan kepada bintang TV realiti Kim Kardashian dan US$100,000 lagi kepada suaminya ketika itu, Kris Humphries.

“Jumlah seterusnya turut dibayar daripada akaun Good Star kepada beberapa entiti termasuk US$1 juta ke Chelsea Hospital Partners LLC, US$124,313 ke Greenberg Traurig International dan US$285,000 ke Blackhawk Partners Inc, bagaimanapun tujuannya masih tidak diketahui,” katanya.

Templeman ialah pengarah penyiasatan di Kroll Advisory Ltd dan mengetuai siasatan berterusan terhadap dana yang diselewengkan daripada 1MDB dan SRC International Sdn Bhd menerusi syarikat yang dibubarkan.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Mohd Irwan dan Arul Kanda atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi yang mengakibatkan kerugian US$1.83 bilion berkaitan pelaburan syarikat dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang kemudiannya ditukar kepada Brazen Sky Limited pelaburan dikatakan boleh diperoleh semula daripada Dana Global Bridge.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana syarikat itu berjumlah US$3.5 bilion, yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

1MDB menuntut ganti rugi US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan untuk pelanggaran itu dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan, berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan