Pukul Isteri Dengan Batang Penyapu Sawang, Penghantar Barang Dipenjara Lima Tahun 

10/09/2024 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memukul isterinya dengan batang penyapu sawang, menampar dan menendang wanita itu selepas mangsa tidak menyerahkan rantai anak mereka dan enggan meminjam wang RM500 daripada keluarganya di kampung.

Hakim Dr Azrol Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas penghantar barang, Che Nohhud Afnan Che Omar, 33, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara daripada tarikh tangkap pada 21 Ogos lepas.

Lelaki itu mengaku bersalah kerana mencederakan isterinya, Nur Atiyah Mohd Ali, 34, dengan memukul mangsa menggunakan batang penyapu sawang, batang kayu penggaru badan, menampar dan menendang seluruh badan wanita di sebuah rumah di Jalan Jerejak, Taman Setapak, Wangsa Maju di sini pada 8 malam, 19 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua kali tempoh maksimum atau denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, wanita itu dipukul, ditendang dan ditumbuk oleh suaminya selepas mangsa enggan menuruti permintaan tertuduh agar menyerahkan rantai milik anak mereka kepada tertuduh selain meminta isterinya untuk meminjam wang RM500 daripada ibu bapa wanita itu. 

Hasil siasatan polis mendapati keterangan mangsa bahawa beliau telah dipukul oleh suaminya adalah konsisten dengan laporan perubatan yang mengesahkan kesan lebam pada badannya adalah disebabkan perbuatan tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memohon hukuman setimpal kerana  lelaki itu menyebabkan kecederaan teruk kepada isterinya.

“Tertuduh sepatutnya melindungi isteri dan bukan mencederakannya. Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan menimbangkan kesan trauma dialami mangsa," katanya.

 Che Nohhud Afnan yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan keluarga selain bekerja sebagai penghantar barang pencuci.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan