Kastam Perlis Rampas Syabu Bernilai Lebih RM2 Juta

11/09/2024 01:49 PM

PADANG BESAR, 11 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu seberat 73.319 kilogram (kg) bernilai RM2.34 juta yang disembunyikan dalam bungkusan teh Cina di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, awal bulan ini.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata rampasan dilakukan selepas pihaknya memeriksa sebuah kenderaan jenis Isuzu MU-X bernombor pendaftaran Thailand di laluan import, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) pada 8.15 pagi, 3 Sept lepas.

Beliau berkata pemandu kenderaan iaitu lelaki dipercayai warga Thailand telah berjaya menghilangkan diri.

"Hasil pemeriksaan menemukan 56 peket teh Cina bertulis “Guanyinwang” disembunyikan dalam ruangan khas di bawah tempat duduk penumpang belakang barisan kedua.

"Turut dijumpai ialah 14 bungkusan hitam disorokkan di bahagian ruangan khas dipercayai diubah suai di lantai tempat duduk penumpang belakang barisan pertama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan dadah disyaki jenis methamphetamine atau syabu berisi di dalam peket teh Cina dan bungkusan hitam terbabit.

Ismail berkata dadah itu dianggar mampu digunakan 730,000 penagih dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes lain, Kastam Perlis katanya merampas 3,164 batang rokok dianggar bernilai RM3,160 termasuk cukai dalam pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Kangar dan Kedah pada 5 Sept lepas.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 22.35 liter minuman keras bernilai RM248.55 dan melibatkan cukai RM1,040.08 yang dipercayai tidak berkastam dalam pemeriksaan di kedai runcit di Kangar dan Kedah itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan