Polis Gagalkan Cubaan Seludup Masuk 24 Pendatang Tanpa Izin Di Padang Besar

11/09/2024 05:46 PM

KANGAR, 11 Sept (Bernama) -- Polis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 24 pendatang tanpa izin warga Myanmar ke negara ini secara berasingan di sekitar Padang Besar pada Isnin lepas dan semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata tiga daripada mereka iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 15 hingga 48 tahun ditahan di kawasan Stesen Kereta Api Padang Besar pada 7.15 malam, Isnin.

"Dalam operasi itu, polis menahan empat individu termasuk seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tekong. Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga warga asing terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mempercayai mereka memasuki negara ini melalui jalan tikus di pagar sempadan Malaysia-Thailand dengan berjalan kaki manakala lelaki tempatan itu dipercayai membeli tiket kereta api untuk tiga warga asing itu bagi tujuan perjalanan mereka ke negeri jiran untuk bekerja.

"Lelaki tempatan itu kini direman 28 hari bermula semalam di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 manakala tiga warga Myanmar itu direman 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959/63 bermula semalam,” katanya.

Mohd Shokri berkata baki 21 pendatang tanpa izin pula ditahan sepasukan polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3, Bidor, Perak dalam rondaan berkala pada 12.15 tengah malam, semalam ketika disyaki menceroboh masuk melalui pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand dengan berjalan kaki. 

Beliau berkata 17 lelaki dan empat wanita berusia antara 19 hingga 49 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk memasuki negara ini dengan seorang daripada lelaki itu yang berusia 24 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong dan pandu arah kumpulan terbabit. 

"Tekong dipercayai menerima upah RM200 bagi setiap individu dan mendapat arahan daripada seorang ejen dari negara jiran. Kesemua pendatang tanpa izin itu dipercayai memasuki Malaysia untuk bekerja di beberapa lokasi dalam negara,” katanya.

Tekong berkenaan katanya direman bermula hari ini hingga 8 Okt depan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 manakala baki 20 yang lain direman 14 hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan