JPJ Kl Kutip RM428,850 Menerusi Lelongan 253 Kenderaan Sita Tahun Ini

11/09/2024 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur mengutip RM428,850 menerusi dua siri lelongan melibatkan 253 kenderaan sita pada tahun ini.

Ketua Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata dua siri Lelongan Awam Kenderaan Sita yang diadakan pada Mac lepas dan hari ini membabitkan kenderaan terlibat pelbagai kesalahan antaranya tiada insurans, kenderaan klon, tiada lesen memandu dan pemandu atau penunggang kenderaan warga asing.

Beliau berkata lelongan itu dibuat selepas tiga bulan kenderaan berkenaan diletakkan di kandang sita JPJ Kuala Lumpur setelah dikesan melakukan kesalahan menerusi pelbagai operasi di sekitar Kuala Lumpur dan tidak dituntut oleh pemilik.

“Bila kita sita sesebuah kenderaan, ia tidak terus jadi milik kerajaan, ia masih kepunyaan pemilik asal dengan syarat perlu hadir ke JPJ untuk buktikan mereka ialah pemilik kenderaan berdaftar itu.

“Pemilik perlu selesaikan denda dan urusan di mahkamah bagi setiap kesalahan sebelum boleh mengeluarkan kenderaan mereka dan jangan guna khidmat ‘ulat’ untuk tuntut kenderaan yang telah disita kerana JPJ tidak kenakan bayaran untuk menuntut kenderaan itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Zaki berkata bagi lelongan hari ini, JPJ Kuala Lumpur mengutip RM93,110 selepas melelong 119 kenderaan membabitkan 96 motosikal dan lima kereta yang boleh didaftarkan semula dan 18 kenderaan melibatkan 14 motosikal dan empat kereta yang tidak boleh didaftarkan semula.

“Kenderaan yang boleh didaftarkan semula ialah kenderaan yang didapati masih baik selepas pemeriksaan manakala yang tidak boleh didaftarkan semula kebanyakannya kerana nombor casis yang telah diganggu usik dan dilelong sebagai scrap,” katanya. 

Beliau turut mengajak semua rakyat Malaysia untuk menyertai Lelongan Awam Kenderaan Sita di mana-mana cawangan JPJ kerana ia terbuka kepada semua dengan membeli naskhah buku katalog bagi sesebuah sesi lelongan.

“Kita galakkan penyertaan semua orang kerana tidak ada individu atau syarikat tertentu yang diberi keutamaan. Kita juga ada sesi pemeriksaan kenderaan iaitu bakal pembida yang telah membeli buku lelong boleh datang untuk periksa dahulu, kalau puas hati dan sesuai dibeli dia boleh datang ketika sesi lelongan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan