Polis Tahan Penganggur, Rampas Lebih 60 Kg Ganja Bernilai RM203,632

11/09/2024 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang penganggur dan merampas ganja seberat 65.6 kilogram (kg) dianggar bernilai RM203,632 dalam dua serbuan di kondominium di Cheras dan Segambut, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ravindar Singh Sarban Singh berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan di Cheras pada 9 malam, yang kemudian membawa kepada penemuan ganja seberat 62.56 kg hasil pemeriksaan di unit kondominium di situ.

Beliau berkata turut dirampas sebuah kereta Perodua Axia dan wang tunai RM100.

"Hasil soal siasat terhadap lelaki itu, polis bertindak ke sebuah lagi kondominium di Segambut dan pemeriksaan menemukan 3.1 kg ganja bersama peralatan penimbang dan 'vacuum sealer', dipercayai digunakan dalam pembungkusan dadah itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ravindar Singh berkata  siasatan awal pihaknya mendapati suspek yang bergerak aktif sejak awal tahun ini menyewa kondominium di Segambut bagi menyimpan dan membungkus semula dadah dibeli.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai membeli dadah berkenaan daripada seorang individu tempatan di bandar raya ini sebelum dibungkus semula dalam pek seberat lima gram hingga satu kilogram untuk dijual kepada penagih.

“Dianggarkan jumlah dadah dirampas boleh digunakan 131,370 penagih dan berikutan itu polis sedang memburu individu yang dipercayai membekal dadah kepada suspek " katanya.

Beliau berkata lelaki itu direman seminggu hingga esok dan dijangka disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan