Yayasan Prihatin SPRM, ELMU Foundation Martabat Profesion Penguat Kuasa

11/09/2024 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Yayasan Prihatin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ELMU Foundation hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkemas kerjasama kedua-dua pihak dalam melaksanakan program peningkatan integriti, profesionalisme dan kebajikan dalam kalangan penguat kuasa undang-undang di negara ini.

Penaung Yayasan Prihatin SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kerjasama itu bagi membantu dan menyokong usaha pencegahan rasuah dan peningkatan integriti dalam kalangan penguat kuasa undang-undang dengan platform dan kemudahan yang sedia ada pada kedua-dua pihak.

“Kedua-dua yayasan ini sentiasa menyokong penuh usaha para penguat kuasa bagi meningkatkan tahap profesionalisme agensi masing-masing melalui peningkatan integriti dalam profesion mereka. Ini termasuk isu kebajikan, latihan, kemasyarakatan dan pendidikan kepada semua petugas agensi penguatkuasaan.

“Kita juga bersepakat untuk sentiasa menyokong usaha semua golongan masyarakat bagi memperkasakan tatakelola pada semua peringkat selaras dengan hasrat kepimpinan kerajaan kita,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di kampus Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) di Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau berharap agar kedua-dua yayasan itu dapat merealisasikan apa jua program yang telah dirancang bagi menyokong usaha SPRM dalam pencegahan rasuah di negara ini.

“Kerjasama yang bermula secara rasminya pada hari ini diharapkan akan menjadi titik tolak usaha berterusan Yayasan Prihatin SPRM dan ELMU Foundation dalam membantu penguat kuasa undang-undang meningkatkan profesionalisme, integriti dan kemahiran melalui program dan platform yang ditawarkan oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Azam turut mengumumkan program sulung yang bakal dilaksanakan melalui MoU berkenaan iaitu Jelajah Pemerkasaan Profesionalisme Penguat Kuasa Undang-undang 2025 yang akan bermula Januari tahun depan.

“Untuk fasa pertama, kami akan menganjurkan program jelajah ini di enam zon iaitu Kuala Terengganu bagi zon timur, Pulau Pinang (utara), Johor Bahru (selatan), Kota Kinabalu (Sabah), Kuching (Sarawak) dan di kampus ELMU (zon tengah).

“Program jelajah itu akan dianjurkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor ELMU Datuk Dr Kassim Noor Mohamed merangkap Pemegang Amanah ELMU Foundation turut menyatakan komitmen yayasan itu untuk memberi tumpuan kepada program-program yang melibatkan pembinaan kapasiti, pembangunan profesionalisme dan penyediaan platform bagi pembelajaran berterusan dalam kalangan kakitangan awam khasnya penguat kuasa undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan