KPDN Serbu Dua Premis Hiburan Langgar Hak Cipta, Sita Set Karaoke

12/09/2024 10:50 AM

GEORGE TOWN, 12 Sept (Bernama) -- Dua premis hiburan disyaki melakukan pelanggaran hak cipta terhadap karya yang didaftar dan digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan komersial di Jalan Sri Bahari dan Jalan Kek Chuan di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang semalam.

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata seramai 20 anggota penguat kuasa KPDN bersama lapan wakil Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyertai serbuan tersebut, susulan aduan daripada wakil pemilik hak cipta.

Beliau berkata premis itu merupakan pusat hiburan berlesen yang menyediakan perkhidmatan karaoke dan hasil serbuan mendapati perisian karya muzik itu melanggar hak cipta di bawah kesalahan Akta Hak Cipta 1987.

“Sitaan dilakukan ke atas pelbagai peralatan elektronik iaitu set karaoke yang mengandungi beberapa jenis perisian karya muzik yang disyaki salinan langgaran 14 lagu, enam unit mikrofon, satu set karaoke digital audio, empat set pembesar suara, dua televisyen dan satu unit sistem karaoke layar sentuh yang dianggarkan bernilai RM30,000 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jegan berkata serbuan itu dibuat selepas kedua-dua premis itu masih berdegil dengan melakukan pelanggaran hak cipta karya meskipun sudah berulang kali diberi amaran dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Hak Cipta 1987.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak yang menggunakan mana-mana karya hak cipta bagi aktiviti perniagaan supaya memohon kelulusan daripada pemilik hak cipta atau tindakan tegas akan diambil sekiranya karya itu didapati dicetak rompak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan