KPDN Serbu Premis Disyaki Seleweng LPG

12/09/2024 11:52 AM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis tanpa nama di Green Technology Park, Seremban 2, Negeri Sembilan yang disyaki dijadikan stor haram menyimpan dan mengedar gas petroleum cecair (LPG). 

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata dalam Op Tiris 3.0 pada 11 pagi, 4 Sept lepas, kementerian menemukan sejumlah LPG di dalam premis itu bersama beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti decanting bagi memindahkan gas daripada tong berkapasiti 14 kilogram (kg) bersubsidi kepada tong berkapasiti 50 kg untuk kegunaan industri.

“Hasil pemeriksaan lanjut, premis itu juga tidak mempunyai dokumen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pihaknya turut menyita sejumlah 98 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14 kg dan 50 kg, sebuah lori, paip getah penyambung serta beberapa dokumen perniagaan lain bagi siasatan lanjut di bawah Akta 122 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM41,531.60.

Beliau berkata  dua individu warga asing yang dipercayai pekerja di premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan. 

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran LPG berkenaan,” katanya.

Azman berkata premis terbabit juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah-Perintah Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dan menjual secara borong atau runcit apa-apa barang kawalan berjadual tanpa lesen.

“Syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613). 

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan juga didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata hingga Selasa lepas, sebanyak 30,846 pemeriksaan dilaksanakan KPDN di bawah Op Tiris 3.0 sejak dimulakan 1 Jan lepas serta 2,083 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM80.73 juta dan 511 individu ditahan.

Azman berkata bagi tempoh sama, sebanyak 143 kes berkaitan barang kawalan LPG dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM745,144.70.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan