Najib Masih Di Hospital, Perbicaraan 1MDB Ditangguhkan Ke 17 Sept

12/09/2024 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan ke 17 Sept kerana beliau masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat keradangan akut pada lutut.

Perunding kanan Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HKL Dr Siti Hawa Tahir memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pasukan perubatan perlu memantau perkembangan Najib selepas memberinya ubat opioid dua hari lepas.

"Sijil sakit (MC) Datuk Seri Najib untuk hari ini dan esok diberi berdasarkan penilaian semalam kerana apabila melibatkan keadaan keradangan akut seperti ini, ia memerlukan penilaian harian. Beliau perlukan rehat dua hari.

"Kesakitan berkurangan dengan opioid, tetapi beliau mengalami beberapa kesan sampingan termasuk loya dan mengantuk. Datuk Seri Najib juga menghidap apnea tidur yang menjadi kebimbangan kami kerana beliau perlu dipantau dengan teliti ketika menggunakan opioid," kata Dr Siti Hawa dari kandang saksi di sini hari ini.

Ketika ditanya Hakim Sequerah sama ada Najib dapat menghadiri perbicaraan esok, Dr Siti Hawa berkata ia bergantung pada penilaian pakar psikiatri terhadap keadaan mental bekas Perdana Menteri itu kerana beliau menggunakan opioid.

"Apabila kami berbual, Datuk Seri Najib boleh faham dan beliau dapat menyampaikan mesej mengenai gejala yang dialaminya.

"Bagaimanapun, pakar psikiatri ialah pihak yang paling sesuai menjelaskan keadaan mental beliau sebelum dapat ke mahkamah kerana pembersihan ubat daripada darahnya akan mengambil masa beberapa jam," kata Dr Siti Hawa.

Selepas mendengar penjelasan daripada Dr Siti Hawa, Hakim Sequerah mengosongkan perbicaraan untuk hari ini dan esok, dengan mengharapkan Najib dapat menghadiri perbicaraan pada Selasa depan (17 Sept).

Prosiding kini memasuki peringkat penghujahan lisan, tiada testimoni saksi dikemukakan. Pasukan pembelaan dan pendakwaan sedang menyediakan hujah terakhir bagi mengemukakan kesimpulan sama ada bukti lisan dan dokumentari akan mensabitkan atau membebaskan Najib daripada pertuduhan.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, dan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan