Tun Hanif Omar Individu Penting Di Sebalik Penubuhan Utk - Meor

12/09/2024 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Bekas Ketua Polis Negara Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar yang memegang jawatan tertinggi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu selama 20 tahun bermula Jun 1974, merupakan individu penting di sebalik penubuhan pasukan khas barisan hadapan menentang keganasan iaitu Unit Tindak Khas (UTK). 

Bekas Komander UTK Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin berkata kebijaksanaan Mohammed Hanif dalam menjangkakan sesuatu perkara telah membawa kepada penubuhan UTK pada 1 Jan 1975, terutama apabila berlakunya ancaman keganasan antarabangsa di Timur Tengah yang berkemungkinan turut merebak ke Malaysia.

“Ketika itulah beliau cadangkan untuk wujudkan UTK bagi membanteras kegiatan keganasan dan jangkaan itu terbukti betul apabila pada 1976 negara telah dikejutkan dengan krisis tebusan Bangunan AIA. 

“Tiga bulan kemudian berlaku satu lagi situasi krisis tebusan feri di Johor. Ini membayangkan beliau sudah menjangkakan perkara ini berlaku dan beliau sudah pun ada perancangan,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis A Tribute to Tun Hanif Omar di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras di sini hari ini.  

Tidak hanya berpandangan jauh, Meor turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat  teliti dan mempunyai perancangan masa hadapan untuk pasukan. 

“Saya masih ingat ketika taklimat peristiwa krisis Penjara Pudu, Allahyarham mahukan butiran yang sangat terperinci tentang operasi berkenaan seperti berapa jarak di antara satu pintu ke satu pagar di kawasan penjara tersebut, bagaimanakah keadaan lantainya dan jika licin, bagaimana untuk mengelakkannya.

“Beliau sangat teliti kerana tidak mahu menerima sebarang kegagalan. Pernah satu ketika saya ubah satu daripada perancangannya tetapi tidak membuahkan hasil dan esoknya Hanif mempersoalkan tindakan saya.

“Tun Hanif berkata don’t think when I’m not around. You think when I’m around, and then we decide together (jangan fikir bila saya tidak ada. Kamu fikir bila saya ada dan kemudian kita putuskan bersama),” katanya.

Berkongsi lebih lanjut tentang penubuhan awal UTK, Meor berkata Allahyarham juga sangat mementingkan kebajikan pegawai dan anggota pasukan itu bagi memastikan mereka dapat berfungsi dengan baik  terutama  latihan, aset dan kelengkapan yang mencukupi.

“Pada mulanya, anggota UTK dilatih di sini oleh Special Air Service (SAS) dari United Kingdom. Kemudian ramai anggota yang dihantar untuk berlatih dengan pasukan khas di Amerika, Perancis dan Jerman.

“Setelah mereka pulang ke tanah air, kita olah semula latihan yang mereka terima untuk disesuaikan dengan keadaan di sini,” katanya. 

Majlis A Tribute to Tun Hanif Omar yang diadakan hari ini dihadiri balu Allahyarham, Toh Puan Hamidah Abdul Hamid dan keluarga serta kira-kira 100 pegawai kanan, anggota lain-lain pangkat serta pesara polis.

Turut hadir tiga bekas Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Tan Sri Ismail Omar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan