Hina Sultan Kedah: Penganggur Dihukum Penjara Sebulan, Denda RM4,000

12/09/2024 07:35 PM

SUNGAI PETANI, 12 Sept (Bernama) -- Seorang penganggur hari ini dihukum penjara sebulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku membuat hantaran menghasut yang menyentuh Sultan Kedah menerusi aplikasi TikTok, Julai lepas.

Majistret M. Kalaiarasi turut memerintahkan Nor Ismail Amran Ghazilah, 42, dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di aplikasi TikTok di Sungai Petani pada kira-kira 10 malam 6 Julai lepas mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Preeyaa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan membabitkan institusi diraja selain bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar lebih berhati-hati menggunakan media sosial.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Farahdina Che Bakar memohon hukuman ringan atas alasan ia kesalahan pertama tertuduh yang telah menyesal dan sudah lapan bulan tidak bekerja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan