Buaya Baham Pekerja Ladang Di Lahad Datu Ditembak Mati

12/09/2024 11:20 PM

LAHAD DATU, 12 Sept (Bernama) -- Seekor buaya ditembak mati selepas membaham seorang pekerja ladang lelaki warga Indonesia yang memancing di Sungai Matamba dalam kawasan ladang di Jalan Silabukan di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata pihak Jabatan Hidupan Liar terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah buaya sepanjang 4.6 meter itu bagi membolehkan mayat Rusdi Tambah, 45, diambil daripada mulut haiwan berkenaan.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.07 pagi dan menurut saksi, seorang pekerja ladang yang sedang memancing di tepi sungai disambar buaya dan susulan itu, operasi mencari diaktifkan di radius 500 meter sepanjang laluan sungai.

"Pasukan bomba dan orang awam kemudian menemukan kedudukan mangsa bersama buaya kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa disambar dengan keadaan mangsa masih berada di dalam mulut buaya dan sehubungan itu, laporan dibuat kepada pihak Jabatan Hidupan Liar untuk bantuan lanjut," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia dan tubuhnya dalam keadaan sempurna sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Bangkai buaya itu juga dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan selanjutnya," kata beliau sambil menambah operasi ditamatkan pada 1.10 tengah hari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan