Dua Lelaki Disyaki Along Ditahan Polis

12/09/2024 11:49 PM

IPOH, 12 Sept (Bernama) -- Dua lelaki ditahan di Taman Rima Gamelan, Bercham di sini semalam kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata kedua-dua lelaki itu telah diserahkan oleh orang awam kepada pihak polis yang menerima maklumat pada 1.10 tengah hari. 

"Empat bungkusan plastik mengandungi cecair berwarna merah disyaki cat serta 17 helaian kertas putih bertulisan butiran peminjam yang gagal membuat bayaran serta tiga telefon bimbit telah dirampas .

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek telah membaling cat dan menampal notis di sebuah rumah dipercayai gagal membuat bayaran balik pinjaman yang dibuat secara atas talian," katanya dalam kenyataan malam ini.

Azizi berkata pemilik rumah tersebut menyedari kehadiran suspek dan bertindak mengejar dua lelaki itu yang memandu kereta hingga ke Jalan Lebuh Bercham Timur dan telah terbabas di kawasan tersebut sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

Beliau berkata kedua-dua suspek mengalami kecederaan ringan dan berjaya ditahan dengan bantuan orang awam seterusnya diserahkan kepada polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952  dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan