JAS Sedang Siasat, Periksa Premis Bertanggungjawab Cemar Sungai Tebrau

13/09/2024 12:11 AM

PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menjalankan siasatan dan pemeriksaan ke atas premis yang disyaki melakukan pencemaran sehingga menyebabkan bau busuk serta lapisan berminyak di permukaan Sungai Tebrau, Johor pada Isnin lepas.

Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan dibuat dengan menyusuri Sungai Tebrau susulan aduan yang diterima mengenai bau busuk sekitar kawasan Bukit Indah, Kempas, Senai, Skudai dan Kulai.

Beliau berkata sembilan sampel diambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia dan pemantauan menggunakan dron serta pengawasan kualiti udara berhampiran kawasan kejadian juga telah dilakukan. 

Bagi kes pencemaran yang dikesan di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika pula, Wan Abdul Latiff berkata pihaknya akan memastikan kerja-kerja pembersihan serta pelupusan sisa dilakukan oleh kontraktor berlesen mengikut terma rujukan yang ditetapkan. 

“Semua pihak industri adalah diingatkan bahawa tindakan tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang melakukan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Wan Abdul Latiff berkata kerajaan memandang serius jenayah alam sekitar dan hukuman lebih berat telah diperuntuk melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 yang antara lain menetapkan denda serta penalti daripada RM5,000 hingga RM10 juta selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun. 

Beliau menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar  melalui talian bebas  tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam atau e-mel kepada aduan_k@doe.gov.my dan portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan