Kanak-kanak Dalam Video Tular Bukan Mangsa Cubaan Culik Tapi Mangsa Amang Seksual - Polis

13/09/2024 12:39 AM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Polis menafikan kanak-kanak yang dipegang bahunya oleh seorang lelaki di kawasan sebuah masjid di Subang Jaya adalah mangsa cubaan menculik.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata sebaliknya siasatan mendapati kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun itu mungkin mangsa amang seksual.

“Lelaki itu menanyakan nama dan alamat rumah mangsa sehingga menyebabkan mangsa melarikan diri ke kawasan sekolah berdekatan.

“Mangsa telah memberitahu kejadian tersebut kepada pengadu iaitu seorang perempuan tempatan dan  semalam, pengadu telah terima satu video dan gambar daripada ibu kenalan mangsa yang menunjukkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) kejadian,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata video itu tular di laman Facebook dengan memaparkan gambar dan kenyataan yang mendakwa mangsa cuba diculik namun siasatan awal mendapati dakwaan tersebut tidak benar.

Wan Azlan berkata berkata polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2021 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

“Polis menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada dalam memuat naik sebarang kenyataan di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri serta keluarga," katanya. 

Beliau juga berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dan mereka boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Siti Shabilah Zulkifle@Awang di talian 010-266 7017 atau balai polis berhampiran.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan