KPDN Perak Rampas 493 Kartrij Pencetak Tiruan

13/09/2024 12:37 PM

IPOH, 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 493 kartrij pencetak disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM4,667 dalam satu serbuan terhadap sebuah premis di Jalan Pasir Puteh di sini semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan hari ini berkata serbuan dilakukan hasil aduan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar serta risikan awal pihak KPDN Perak. 

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap premis itu menemukan 493 kartrij pencetak disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

“Serbuan ini turut dilakukan bersama-sama wakil pemilik cap dagangan dan siasatan mendapati kartrij ini dipasarkan atau dijual melalui platform e-dagang,” katanya dan menambah kesemua kartrij pencetak itu bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan.

Beliau berkata susulan itu, KPDN Perak menahan seorang lelaki yang mengaku bertanggungjawab terhadap premis terbabit selaku pengurus syarikat. 

“Kita memberi peringatan dan amaran kepada pihak berkaitan supaya tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah,” katanya. 

Kamalludin berkata KPDN memandang serius kes seumpama itu bagi melindungi hak pemilik cap dagangan dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik sesetengah peniaga yang cuba mengaut keuntungan mudah melalui penjualan barangan tiruan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan