Tiga Remaja Ditahan Disyaki Sindiket Dapatkan Akaun Bank Keldai

13/09/2024 10:35 PM

BALIK PULAU, 13 Sept (Bernama) -- Polis menahan tiga individu termasuk seorang remaja perempuan disyaki ahli sindiket penipuan yang menjalankan kegiatan mendapatkan akaun bank keldai untuk digunakan bagi tujuan penipuan melalui dalam talian, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata dua remaja lelaki berusia 19 tahun dan seorang remaja perempuan berumur 16 tahun itu ditahan di Bayan Lepas oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

"Bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, pihak polis menyerbu sebuah premis dan menahan tiga individu tersebut dan merampas 11 telefon bimbit pelbagai jenama, dua simcard dan sekeping kad bank," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 58 tahun ditahan  di  Jalan Kuala Sungai Pinang di sini semalam bagi membantu siasatan berhubung kes pukul dan ugutan jenayah membabitkan dua beranak.

Kamarul Rizal berkata berdasarkan laporan polis dibuat oleh seorang lelaki, semasa kejadian dia bersama ibunya berada di hadapan rumah sebelum didatangi lelaki itu dan kemudiannya mengancam ibunya.

"Suspek itu kemudiannya bertindak menampar dan menumbuk mangsa  sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian dada kiri, luka di tangan kanan serta luka di bahagian bibir, namun ibunya tidak dipukul," katanya.

Beliau berkata semakan mendapati suspek itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan dia kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 serta 506 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan