Kastam Sarawak Sita 10 Kenderaan Mewah Bernilai Lebih RM8 Juta

14/09/2024 06:45 PM

KUCHING, 14 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menyita 10 kenderaan mewah pelbagai jenama bernilai RM8.12 juta selepas memeriksa sebuah premis di sini awal bulan ini.

Pengarahnya Norizan Yahya berkata pemeriksaan pada 2 Sept itu dilakukan sepasukan Unit Operasi Darat Kuching, JKDM Sarawak.

“Hasil pemeriksaan di premis terbabit menemukan 10 kenderaan mewah pelbagai jenama disyaki melanggar syarat diperuntukkan di bawah Seksyen 75(b) Akta Kastam 1967.

“Modus operandi syarikat berkenaan adalah dengan memindahkan kenderaan import berduti belum dibayar cukai tanpa kelulusan kastam dan menyimpannya di dalam premis atau gudang tidak dilesenkan di bawah Seksyen 65 Akta Kastam 1967 (Gudang Berlesen),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 138 Akta Kastam 1967 dibaca bersama Seksyen 75(b) Akta Kastam 1967.

Dalam kes lain, Norizan berkata pihaknya turut menggagalkan aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok tidak berkastam pelbagai jenama melibatkan 2.42 juta batang rokok dianggar bernilai RM2.11 juta termasuk duti dan cukai, pada Julai dan Ogos lepas.

Beliau berkata bagi aktiviti penyeludupan dan penjualan minuman keras tidak berkastam termasuk bir, dianggarkan bernilaiRM920.29 juta termasuk duti dan cukai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan