Polis Buka Kertas Siasatan Kes Resit Tertera Perkataan Hina Islam

14/09/2024 10:29 PM

BUKIT MERTAJAM, 14 Sept (Bernama) -- Polis membuka kertas siasatan berhubung gambar resit pembelian makanan segera yang tertera perkataan menghina Islam di sebuah restoran makanan segera di Taman Inderawasih, Perai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata pihaknya menjalankan siasatan kes itu di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Pada 8.30 pagi tadi, dikesan satu tangkap layar yang dimuat naik di laman sosial X memaparkan gambar resit pembelian makanan segera tertera tulisan menghina agama Islam disyaki berlaku di daerah SPT.

"Pihak polis menerima satu laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pekerja restoran makanan segera itu pada 11.48 malam semalam," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata pihak polis telah menjalankan siasatan awal terhadap maklumat individu yang membuat pesanan berkenaan dan individu terbabit menafikan ada membuat pesanan itu. 

"Individu itu juga mengesyaki butir-butir peribadi dan alamatnya disalah guna oleh individu lain, pemeriksaan juga mendapati laman web restoran makanan segera berkenaan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan pengguna untuk membuat pesanan," katanya sambil meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan