GISB: CPS Gesa Tindakan Segera Diambil Susulan Serbuan Ke Atas Rumah Amal

14/09/2024 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS) telah menggesa agar tindakan pantas diambil untuk menyelamatkan kanak-kanak yang terlibat dalam serbuan Op Global ke atas rumah amal baru-baru ini yang dikaitkan dengan GISB Holdings.

Pengasas merangkap Presiden CPS Datuk Seri Nazir Ariff juga berkata pesalah perlu dihukum dan pembaharuan menyeluruh membabitkan sistem pemantauan ke atas rumah amal harus dilakukan.

Beliau berkata pihak yang bertanggungjawab bagi perbuatan keji itu hendaklah diheret ke muka pengadilan dengan segera dan tanpa sebarang pengecualian.

“Selama lebih 30 tahun, CPS telah berusaha memberikan kasih-sayang, penjagaan dan persekitaran yang selamat kepada kanak-kanak terabai serta ditinggalkan namun kejelikan bentuk penderaan yang didedahkan dalam serbuan baru-baru ini benar-benar mengejutkan saya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Nazir berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan satu sistem yang mantap bagi memastikan insiden keji seperti itu tidak terus disembunyikan sehingga menyebabkan kanak-kanak menderita dalam diam.

Rabu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang membawa kepada penahanan 66 lelaki dan 105 wanita berusia lingkungan 17 hingga 64 tahun.

Susulan serbuan itu, 402 kanak-kanak iaitu 201 lelaki dan 201 perempuan berusia lingkungan setahun hingga 17 tahun telah berjaya diselamatkan.

Berdasarkan maklumat risikan, mangsa diajar untuk meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik hingga keadaan kritikal, selain suspek menggunakan objek panas bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan dilakukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan