Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas Dadah RM370,000 Di Bukit Mertajam

15/09/2024 02:53 PM

BUKIT MERTAJAM, 15 Sept (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dan merampas syabu serta heroin bernilai RM370,000 dalam serbuan ke atas dua buah rumah di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata kedua-dua suspek yang juga rakyat tempatan berusia 40 dan 46 tahun itu, ditahan kira-kira 5.30 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) susulan maklumat dan risikan.

Katanya hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis telah merampas enam bekas tin bertulis ‘Royal British Butter’ mengandungi tujuh paket plastik lut sinar disyaki dadah syabu dianggarkan berat 5.2 Kilogram bernilai RM170,000.

“Hasil soal siasat dan pandu arah oleh suspek kemudian membawa kepada serbuan kedua ke sebuah rumah di kawasan sama pada 8.30 malam hari sama.

“Pemeriksaan di ruang tamu telah merampas enam bungkusan plastik lut sinar yang setiap satu dibaluti kertas berwarna coklat, disyaki dadah heroin base dengan anggaran berat 2.287 kilogram bernilai RM200,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hamzah serbuan turut menyita barangan kemas berupa seutas rantai leher berserta loket, wang tunai RM1,600 dan sebuah kereta Nissan Teana dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah berjumlah  RM429,920.

Beliau berkata hasil risikan mendapati sindiket baru bergiat aktif mengedar dadah pada awal Mac lepas dan rampasan tersebut boleh digunakan oleh seramai 176,000 orang atau 176,000 kali penggunaan.

Katanya hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod lampau turut mendapati kedua-keduanya mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Sept untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya  1952,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan