Sebanyak 5,476 Botol Minuman Keras Guna Setem Cukai Palsu Dirampas

15/09/2024 02:47 PM

ALOR SETAR, 15 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 5,476 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM447,150 termasuk cukai kerana disyaki menggunakan setem cukai palsu dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, awal bulan ini.

Pengarah Kastam Kedah Nor Izah Abd Latiff berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai cawangan penguatkuasaan Kastam Alor Setar yang bertindak atas risikan dan aduan awam.

“Modus operandi sindiket ialah menghasilkan setem cukai palsu yang menyerupai setem cukai yang sah. 

“Setem cukai palsu tersebut mungkin melibatkan pencetakan atau penghasilan setem menggunakan teknologi cetakan moden dan ditampal pada botol minuman keras untuk memberi gambaran bahawa produk tersebut telah membayar cukai yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Izah berkata seorang warga asing berusia 40-an yang merupakan pekerja di premis tersebut turut ditahan dan siasatan lanjut masih dilakukan untuk mengesan pemilik premis.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, sepasukan pegawai Kastam Bukit Kayu Hitam merampas minuman keras dan rokok pelbagai jenis yang tidak mempunyai setem cukai dianggarkan bernilai RM1.4 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Selangor pada 29 Ogos lalu.

Nor Izah berkata serbuan dilakukan pada 1.05 pagi itu mendapati premis terbabit tidak berkunci dan tiada penghuni dan ia disyaki dijadikan stor penyimpanan barang tidak berkastam serta sebagai tempat transit sebelum barangan terbabit diedarkan ke pasaran tempatan.

“Kesemua minuman keras yang disita berjumlah 7,000 liter dan 1,000,000 batang rokok dan dianggarkan bernilai RM353,284 yang melibatkan anggaran cukai sebanyak RM1.048 juta,” katanya.

Nor Izah berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang Januari hingga Ogos lepas, JKDM Kedah telah merekodkan 215 kes pelbagai komoditi termasuk kes rokok dan minuman keras (tidak berkastam) bernilai RM22.81 juta.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan