Polis Akan Siasat Pengakuan Pemimpin GISBH - KPN

15/09/2024 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Polis akan menyiasat pengakuan dibuat Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd Ali, dalam sebuah video tular baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata buat masa ini, fokus akan diberikan terlebih dahulu kepada siasatan yang sedang dilakukan ke atas dakwaan eksploitasi kanak-kanak melibatkan rumah amal dipercayai milik syarikat berkenaan.

“Kita akan selesaikan siasatan berkenaan ekploitasi kanak-kanak itu dahulu, kemudian barulah kita akan fikirkan mengenai dakwaan berkenaan pemimpin syarikat itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, dalam sebuah video, Nasiruddin mengesahkan sememangnya dakwaan liwat terhadap kanak-kanak di rumah amal itu berlaku.

Pada Rabu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu rumah amal terbabit yang terletak sekitar Selangor dan Negeri Sembilan serta menyelamatkan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur lingkungan setahun hingga 17 tahun.

Mengenai perkembangan siasatan ke atas rumah amal itu, Razarudin berkata polis sedang giat mengesan keberadaan ibu bapa kanak-kanak yang telah diselamatkan, bagi dirakam percakapan dalam usaha melengkapkan siasatan.

Beliau berkata setakat semalam, seramai 483 individu telah dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, saksi, mangsa dan suspek.

“Seramai 384 kanak-kanak juga telah selesai saringan kesihatan setakat semalam dan dapatan saringan tersebut ialah terdapat ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan,” katanya.

Beliau berkata polis juga masih menyiasat jika ada kanak-kanak lain diliwat, selain 13 kanak-kanak yang didakwa telah menjadi mangsa sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan