Polis Tahan Dua Lelaki Tanam 143 Pokok Ganja

15/09/2024 04:47 PM

KUCHING, 15 Sept (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dan merampas kira-kira 1.7 kilogram ganja serta 143 pokok ganja dianggarkan bernilai RM3.6 juta di sebuah rumah di Jalan Piasau, Miri, Jumaat lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata kedua-duanya yang berusia 41 dan 61 tahun  menanam benih pokok ganja di kawasan sebuah kediaman secara sulit, dengan benih berkenaan dipercayai dibeli secara dalam talian yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.

“Sepeket benih ganja dibeli dianggarkan bernilai US$100.

“Ganja yang dihasilkan kemudian dijual di sekitar Miri pada harga RM100 untuk 100 gram,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri hari ini.

Beliau berkata keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan sebanyak 32,084 penagih sekitar Miri.

Turut disita katanya, sebuah kereta bernilai RM20,000 dan sebuah motosikal bernilai RM4,500.

Mancha berkata kedua-duanya yang positif terhadap dadah jenis Tetra Hydro Canabinol (THC) kini direman seminggu hingga 21 Sept ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6B dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan