Polis Serbu Premis Proses Sisa Elektronik, Sita Barangan Bernilai RM41.5 Juta

15/09/2024 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Polis menyerbu enam premis memproses barang logam, plastik dan sisa elektronik (e-waste) haram serta menyita pelbagai barangan bernilai RM41.5 juta dalam operasi bersepadu di sekitar Pandamaran, Klang, Selangor pada Khamis.  

Antara barangan disita termasuk 2,800 kilogram (kg) keluli tahan karat, 83,700 kg aluminium, masing-masing 6,000 kg besi dan besi pepejal, 30,000 kg plastik, 103,000 kg kabel diproses, 50 mesin memproses bahan e-waste dan 14 jentera pengangkut.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya turut menahan enam rakyat tempatan dan 43 warga asing berumur lingkungan 22 hingga 60 tahun dalam operasi itu.

“Rakyat tempatan terbabit dipercayai berperanan sebagai penyelaras serta koordinator yang mengambil keuntungan terhadap aktiviti dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata premis yang beroperasi tanpa lesen dan tidak berdaftar itu dipercayai mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Mohd Yusoff berkata hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat pelbagai kesalahan dilakukan termasuk kegagalan mengemukakan dokumen sah untuk menjalankan aktiviti pemprosesan di kawasan berkenaan. 

“Kesalahan di bawah undang-undang kecil perlesenan tred, perniagaan dan perindustrian telah dikenakan kompaun oleh pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang untuk kesalahan menjalankan aktiviti memproses tanpa lesen,” katanya. 

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor turut bertindak menyita dan mengeluarkan kompaun di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk kesalahan tiada sistem pengolahan efluen bagi aktiviti cucian plastik yang dihasilkan.

“Pelupusan e-waste dan sisa plastik mengandungi bahan toksik secara haram boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan serius kepada orang ramai yang terdedah dengan pencemaran ini,” katanya. 

Kesemua tangkapan dan rampasan dilakukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan semua barang yang disita dan dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan