Polis Siasat Video Tular Sekumpulan Remaja Tunggang Basikal Lajak Secara Berbahaya

15/09/2024 10:14 PM

ALOR SETAR, 15 Sept (Bernama) -- Polis menjalankan siasatan berhubung satu klip video tular yang memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal secara berbahaya sehingga salah seorang daripada mereka hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata pihaknya menerima makluman awam berkenaan klip video berdurasi 20 saat itu pada 9.24 pagi hari ini.

“Siasatan awal berdasarkan rakaman tersebut mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat lalu sekitar 5.30 petang yang memaparkan kira-kira lapan remaja menunggang basikal dipercayai jenis basikal lajak.

“Mereka dilihat berlumba sesama sendiri semasa menuruni jambatan Jalan Teluk Wanjah di sini tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berkenaan kejadian tersebut.

Justeru, beliau  meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat  berkenaan remaja terbabit supaya tampil tampil menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Ifzam Mohd Zaini di talian 012-4043373 atau Balai Polis Trafik Kota Setar di talian 04-7321222.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan