Empat Cedera Parah Bas Persiaran Dua Tingkat Terbabas

16/09/2024 05:58 PM

IPOH, 16 Sept (Bernama) -- Empat penumpang cedera parah selepas bas persiaran dua tingkat dinaiki mereka hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di KM273.5 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian berlaku kira-kira 12.15 tengah malam ketika bas dinaiki 34 penumpang berusia antara setahun hingga 73 tahun itu dalam perjalanan dari Sungai Nibong, Pulau Pinang ke Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur.

“Pemandu bas berusia 56 tahun tidak mengalami kecederaan, namun empat penumpang dewasa cedera parah dan 19 penumpang lain cedera ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini manakala kemalangan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Abang Zainal Abidin memohon saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Muhammad Syafiq Fauze menerusi talian 013-6713 177 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan berasingan berkata operasi menyelamat mangsa tamat sepenuhnya pada 2.45 pagi tadi.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan