Pesara Bank Rugi RM1.44 Juta Terperdaya 'Phone Scam'

16/09/2024 06:47 PM

IPOH, 16 Sept (Bernama) -- Seorang pesara bank kerugian lebih RM1.44 juta selepas terperdaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata wanita berusia 65 tahun dan menetap di Taiping itu mula diperdaya selepas menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai terbabit, 11 Ogos lepas.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa kad bank beliau terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram, sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lelaki (suspek kedua) yang memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Rabbani' kononnya boleh menyelesaikan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rentetan itu, wanita berkenaan telah dihubungi dua lagi individu yang mengaku pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Wanita itu katanya telah diarahkan membuka tiga akaun bank berbeza untuk tujuan pindahan wang ke akaun sendiri. 

“Mangsa telah diarahkan meninggalkan kad mesin juruwang automatik (ATM) ketiga-tiga bank berkenaan yang dimasukkan dalam sampul surat di atas rumput di alamat seperti diarahkan.

“Tindakan itu dikatakan bagi tujuan siasatan dan suspek berjanji akan mengembalikan wang mangsa setelah siasatan selesai,” katanya.

Azizi berkata wanita itu ada menerima mesej pengeluaran wang bermula 23 Ogos hingga 11 Sept dan setelah membuat semakan melalui penyata ketiga-tiga bank berkenaan, dia mendapati telah kerugian RM1,440,969.83.

Wanita terbabit yang mengesyaki dirinya ditipu membuat laporan polis petang semalam dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan