Pereka Dalaman Maut Ditikam 20 Kali

16/09/2024 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Seorang pereka dalaman maut ditikam 20 kali selepas disyaki terlibat pergaduhan dengan seorang individu yang belum dikenal pasti di sebuah pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, dekat sini kira-kira pukul 11 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata pihaknya menerima laporan daripada jiran mangsa yang bimbang selepas terdengar bunyi pergaduhan dan tidak melihat mangsa keluar dari rumah selepas kejadian.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah pergi ke rumah mangsa bagi menjalankan siasatan awal dan hasil pemeriksaan di tempat kejadian telah menemukan mayat seorang lelaki berumur 36 tahun dengan kesan tikaman.

“Jumlah keseluruhan tikaman dianggarkan 20 dengan lima tikaman di sebelah rusuk kiri, enam tikaman di kepala dan sembilan tikaman di kedua-dua pergelangan tangan telah ditemui pada mayat mangsa yang bekerja sebagai pereka dalaman itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Shahrulnizam berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan pihaknya turut difahamkan mangsa tinggal bersendirian di pangsapuri berkenaan yang baru dibelinya tahun lepas.

“Barangan mangsa seperti beg duit dan telefon bimbit disyaki telah dicuri, jadi kita juga tidak tolak kemungkinan kes ini adalah pecah rumah menjadi samun hingga menyebabkan kematian dan suspek kes ini dipercayai juga tercedera semasa bergelut dengan mangsa,” katanya dengan menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini dipohon untuk tampil bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan