Polis Cari Wanita Warga Asing Larikan Anak Daripada Suaminya

16/09/2024 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan seorang wanita warga asing yang didakwa telah melarikan anak perempuannya berusia setahun empat bulan daripada suaminya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata semalam polis telah mengesan kenyataan tular di media sosial tertera identifi dan gambar seorang kanak-kanak yang didakwa diculik.

Katanya pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada suami wanita itu pada 4.23 petang, semalam.

“Siasatan awal mendapati, pengadu iaitu bapa kepada kanak-kanak tersebut telah membuat laporan polis berkaitan anaknya telah dibawa lari oleh isterinya yang merupakan seorang warga asing.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua pihak masih berstatus suami isteri sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu selain tidak memuat naik kenyataan tidak pasti yang boleh menggusarkan masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan