Kebakaran Kilang Sebabkan Pencemaran Sungai Rinting

16/09/2024 11:59 PM

JOHOR BAHRU, 16 Sept (Bernama) -- Pencemaran Sungai Rinting, Masai di sini dipercayai berpunca susulan kebakaran sebuah kilang di Seri Alam, semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan siasatan selepas menerima aduan mengenai bangkai ikan ditemui terapung di permukaan dan bau air tercemar di sungai berkenaan, petang tadi.  

“Hasil siasatan awal mendapati ketika proses pemadaman dilakukan, sejumlah besar air telah digunakan dan menyebabkan bahan sisa seperti debu dan serpihan dibawa masuk ke longkang sebelum mengalir ke sungai. 

“Ini menyebabkan tahap keasidan air sungai meningkat (pH mencapai sembilan) sehingga mengakibatkan ikan mati,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam ini. 

Katanya jabatan itu telah mengambil sampel bagi menjalankan siasatan lanjut dan sekiranya terdapat penemuan baharu, maka tindakan susulan akan diambil. 

“Bagaimanapun, kejadian ini tidak berkaitan dengan insiden pencemaran yang terdahulu dan dianggap sebagai kes terpencil. Oleh itu, orang awam dinasihatkan agar tidak panik atau mengaitkan kedua-dua insiden ini,” katanya. 

Untuk rekod, beberapa siri pencemaran bau dilaporkan berlaku di beberapa lokasi di daerah ini antaranya Kampung Melayu Pandan, Taman Daya, Taman Istimewa, Taman Mount Austin, Kawasan Industri Desa Tropika, Kampung Maju Jaya, Kampung Tawakal dan Kampung Plentong Baru, sejak 3 Sept lepas. 

Pada 11 Sept lepas, media melaporkan sebanyak 47 individu terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak termasuk murid sekolah mengalami gejala ringan akibat pencemaran bau yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Johor Bahru.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan