Op Global: Polis Kemukakan Tiga Kertas Siasatan Kepada Jabatan Peguam Negara - KPN

17/09/2024 01:16 PM

Kuala Lumpur, 17 Sept (Bernama) -- Polis akan mengemukakan tiga kertas siasatan berhubung Op Global kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini. 

Beliau berkata ketiga-tiga kertas siasatan itu adalah di Negeri Sembilan, membabitkan dua siasatan mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, manakala satu lagi mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, di bawah fasa satu siasatan polis, sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka iaitu enam di Selangor dan empat di Negeri Sembilan.

“Bagi siasatan fasa kedua pula, sebanyak 23 kertas siasatan telah dibuka di empat kontingen negeri iaitu, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis dan Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Razarudi berkata polis akan memohon lanjutan tahanan reman ke atas suspek kes bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Razarudin berkata dalam siasatan fasa dua, sebanyak 16 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 di kontingen Selangor, manakala dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 di kontingen Negeri Sembilan.

“Bagi kontingen Perlis, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan manakala bagi kontinjen Kuala Lumpur, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta dua mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Komunikasi dan Mulltimedia 1998,” katanya.

Beliau juga berkata permohonan pelanjutan reman membabitkan 155 suspek di Selangor yang tempoh reman mereka akan tamat esok manakala tahanan reman dua lagi suspek di Nilai, Negeri Sembilan akan tamat hari ini.

“Reman dua suspek di Seremban, Negeri Sembilan telah disambung bermula Ahad lepas hingga 21 Sept,” katanya.

Menurut Razarudin secara keseluruhannya sebanyak 740 individu telah dirakam percakapan membabitkan pengadu sebanyak 30, saksi (216), mangsa (392) dan suspek (102).

Beliau berkata polis sedang giat melakukan siasatan tentang kes berkenaan untuk memastikan kesemuanya dilakukan dengan telus dan adil bagi mengelakkan sebarang ketidakadilan atau penganiayaan dilakukan terhadap mana-mana suspek.

Razarudin berkata pihaknya menerima dua laporan polis semalam berkaitan pendedahan berkenaan penderaan kanak-kanak disyaki dilakukan oleh ahli syarikat yang sama.

“Siasatan awal mendapati dua video yang tular itu telah disebarkan melalui media sosial dan dikongsikan oleh masyarakat umum. 

“Dua kertas siasatan telah dibuka dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Katanya bapa kepada mangsa yang dirotan dalam video tular semalam turut membuat laporan polis di Balai Polis Kluang, Johor mengesahkan kanak-kanak di dalam video yang tular itu adalah anaknya tetapi telah terpisah sejak 2021.

Sementara itu, Razarudin berkata siasatan terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB) menjurus kepada jenayah terancang.

“Modus operandi yang dikesan adalah mereka ini akan berpindah-randah untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa. Untuk makluman, semua mangsa tidak duduk di satu tempat saja. Tempat akan berubah-ubah termasuk seperti mereka yang kita selamatkan.

“Ada mangsa kembar ini dia berpindah-pindah, apabila kita rakam percakapan dia masih ingat rumahnya yang rumah amal yang lama tetapi sebenarnya kita selamatkan dia dekat rumah amal yang lain,” katanya. 

Perintah sekatan perjalanan ke luar negara juga telah dikeluarkan lebih awal kepada pihak GISB yang berkemungkinan terlibat dalam kes eksploitasi ini, susulan dakwaan mengenai siasatan yang tidak telus.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan