Arul Kanda Tidak Tahu Tentang Kewujudan ‘Pelaburan’ 1MDB - Tony Pua

17/09/2024 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tidak pasti tentang nilai ‘pelaburan’ 1MDB atau sama ada ia benar-benar wujud.

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Pua Kiam Wee, atau lebih dikenali sebagai Tony Pua, berkata demikian semasa memberi keterangan sebagai saksi kedua plaintif dalam saman US$6.59 bilion yang difailkan oleh 1MDB terhadap Arul Kanda dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Tony Pua, 52, yang dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2018, berkata beliau menghadiri pertemuan dengan wakil 1MDB untuk menentukan status kewangan dana kekayaan negara itu.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, menteri baharu (Lim) mengadakan mesyuarat pada 22 Mei 2018 dengan wakil 1MDB untuk menentukan status kewangan 1MDB. Saya juga menghadiri mesyuarat ini dengan Menteri.

“Apabila ditanya mengenai pelaburan 1MDB, Arul Kanda mendakwa semua hal berkaitan kewangan dikendalikan dengan ketat oleh Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir dan beliau sama sekali tidak pasti tentang nilai ‘pelaburan’ ini atau sama ada ia benar-benar wujud,” katanya sambil menambah Lim telah memaklumkan perkara tersebut dalam kenyataan media mengenai hasil mesyuarat itu.

Saksi itu berkata pada Jun 2018, 1MDB telah menamatkan perkhidmatan Arul Kanda berkuat kuasa serta-merta atas alasan pelanggaran kontrak dan tugas fidusiari sebagai CEO 1MDB.

Arul Kanda ialah CEO 1MDB dari 2015 hingga 2018.

Pada Mei 2021, 1MDB telah memfailkan saman terhadap Mohd Irwan dan Arul Kanda atas dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi yang menyebabkan syarikat mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, kemudian ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited yang dikatakan boleh terdapat dalam Dana Bridge Global.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyalahgunakan wang US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.

1MDB menuntut ganti rugi sebanyak US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan berhubung pelanggaran ini dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan perjanjian pelanjutan pekerjaan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan diteruskan esok.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan