Pokok Tumbang Hempap Lima Kenderaan Di Genting Highlands

17/09/2024 08:25 PM

KUANTAN, 17 Sept (Bernama) -- Lima kereta rosak dihempap pokok tumbang di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah hotel di Genting Highlands, petang tadi

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands digegaskan ke lokasi selepas menerima panggilan berkaitan kejadian pada 5.23 petang. 

“Pokok itu menghempap tiga kereta dan dua van yang diparkir di belakang bangunan. Pasukan bomba memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan gergaji berantai,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

Sementara itu di KANGAR, sebanyak 14 kes pokok tumbang direkodkan di sekitar Perlis susulan ribut kira-kira 6 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kes pertama berlaku di Kampung Guar Medang Gatal pada 6.51 pagi, diikuti beberapa kawasan antaranya Taman Behor Gonchar Jaya, Kuala Sanglang, Kampung Sungai Padang dan Jalan Kaki Bukit.

"Pokok tumbang ini telah menghalang jalan dan menghempap rumah. Kesemua kes berjaya diselesaikan dengan tindakan memotong pokok dan membersihkan kawasan terlibat," katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan