Ibu Bapa Zayn Rayyan Akan Kemuka Representasi, Perbicaraan Mula Tahun Depan

18/09/2024 03:59 PM

PETALING JAYA, 18 Sept (Bernama) -- Ibu dan bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin yang berdepan dengan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan terhadap mereka. 

Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh bahawa pihak pembelaan akan mengemukakan representasi dalam tempoh terdekat selepas meneliti dokumen-dokumen yang diperoleh daripada pihak pendakwaan.

"Mahkamah menetapkan 6 Dis ini bagi pengurusan kes untuk keputusan representasi berkenaan," kata Hakim Syahliza semasa sebutan kes itu hari ini, selain permohonan pihak peguam itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datin Kalmizah Salleh.

Dalam prosiding itu, Kalmizah memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan tiga dokumen iaitu laporan forensik kamera litar tertutup (CCTV), laporan daripada syarikat telekomunikasi dan laporan forensik telefon bimbit.

"Berkenaan dengan status permohonan (peguam) meminda nama mangsa pada kertas pertuduhan dibuat pihak peguam secara lisan pada prosiding sebelum ini, pihak kami memohon agar permohonan ini ditolak dan memohon supaya nama mangsa pada kertas pertuduhan dikekalkan.

"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan. Sebanyak 15 saksi pendakwaan akan dipanggil," kata TPR Kalmizah.

Hakim Syahliza kemudian menetapkan 15 hari iaitu bermula 20 hingga 24 Jan 2025 serta 3 hingga 7 Feb dan 17 hingga 21 Feb tahun sama sebagai tarikh perbicaraan kes itu, dan membenarkan nama mangsa dikekalkan seperti dalam pertuduhan sebelum ini.

Terdahulu, Fahmi berkata berkenaan isu permohonan meminda nama mangsa, ia tidak mendatangkan prejudis kepada pihak pendakwaan atau pembelaan kerana merujuk individu sama (mangsa) dan ia telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata dokumen diperoleh daripada JPN mengesahkan nama sebenar kanak-kanak itu telah dibetulkan daripada Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan.

"Saya faham permohonan ini dibuat secara lisan dan tidak dibuat secara rasmi, namun sekiranya mahkamah mengarahkan kami (pembelaan) untuk membuat permohonan secara afidavit, kami akan patuh," kata peguam itu.

Sementara itu, Fahmi ketika ditemui media berkata representasi itu bertujuan menarik balik atau menyemak semula pertuduhan dihadapi kedua-dua anak guamnya.

Mengenai keputusan mahkamah mengekalkan nama pertuduhan, Fahmi berkata pihaknya akan mengemukakan notis usul berhubung perkara meminda nama mangsa selepas perbincangan bersama dengan ahli keluarga anak guamnya.

"Bagaimanapun, kami menghormati keputusan mahkamah dan kami akan meneliti tindakan selanjutnya, pihak pendakwaan juga menolak permohonan itu tanpa menyatakan alasan-alasan yang kukuh," katanya.

Pada 13 Jun, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada Disember 2023 di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis tahun lepas, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan