Keputusan Semakan Kehakiman Majlis Peguam Cabar Pengampunan Najib 11 Nov

18/09/2024 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini telah menetapkan 11 Nov untuk memutuskan semakan kehakiman Majlis Peguam yang mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam utama bekas Perdana Menteri itu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Zainur Zakaria, yang mewakili Majlis Peguam.

Muhammad Shafee berhujah bahawa Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan perundangan terhadap keputusan Lembaga Pengampunan kerana pengampunan anak guamnya adalah urusan peribadi yang tidak mempunyai kesan terhadap ahli majlis itu atau orang awam.

Beliau berkata pengampunan biasanya diberikan oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri yang membebaskan individu daripada kesan perundangan.

“Dalam kes ini, pengampunan tidak mendatangkan sebarang obligasi atau kesan advers kepada pemohon atau mana-mana 20,000 ahlinya. Oleh itu, cabaran pemohon tidak mempunyai sebarang kesan langsung ke atas hak atau kepentingan perundangan merekathe applicant’s challenge, lacking any direct impact on their legal rights or interests, hendaklah ditolak berdasarkan perkara ini sahaja.

“Permohonan di hadapan Mahkamah Yang Mulia ini jelas remeh dan menyusahkan kerana keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh diadili manakala perintah yang dimohon dibuat dengan niat jahat,” katanya.

Muhammad Shafee juga berkata Majlis Peguam pada Mesyuarat Agung Tahunannya yang ke-78 pada 16 Mac lepas telah meluluskan usul untuk memfailkan permohonan tersebut namun kuorum yang diperlukan tidak hadir ketika itu.

Beliau berkata mengikut Seksyen 64(4) Akta Profesion Perundangan 1976, satu kuorum berjumlah 500 ahli diperlukan untuk mengadakan AGM namun setakat 10 pagi hari berkenaan, ia tidak dapat dicapai.

Zainur pula berhujah bahawa AGM itu adalah sah kerana tiada keputusan mahkamah yang memutuskan sebaliknya.

Pada 26 April lepas, Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman itu dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.

Ia memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan lepas berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya, yang menyaksikan beliau dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028, adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.

Majlis Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta dengan syarat kegagalan membayarnya akan melanjutkan tempoh penjara beliau selama setahun, yang menyebabkan pembebasan awal pada 23 Ogos 2029, adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.

Najib, 70, telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Beliau telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan