Pengarah Syarikat Didakwa Salah Guna Wang Perkeso

25/09/2024 05:50 PM

BUTTERWORTH, 25 Sept (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan salah guna wang bantuan Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM32,000, pada tahun 2021 dan 2022.

Koay Chin Eng, 63, didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta milik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk dirinya sendiri, iaitu wang berjumlah RM21,500 pada 2 Sept 2021 di RHB Bank Berhad Cawangan Sg Bakap.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang sebanyak RM10,500 pada 24 Feb 2022, di bank yang sama.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili Datuk Seri Ramli Yusuff dan Datuk Dzaamoddin Salleh.

Hakim Zulhazmi Abdullah menetapkan 8 Nov sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, bagi setiap pertuduhan.

Koay juga dikenakan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM yang berdekatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan