1BestariNet: Siasatan Tumpu Kepada Mutu Dan Kelajuan Perkhidmatan Internet

26/09/2024 01:37 PM

BANGI, 26 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpukan kepada aspek pembekalan data Internet dan mutu perkhidmatan dalam siasatan terhadap projek 1BestariNet kepada sekolah di seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan akan melihat kepada pembekalan data terhadap 8,000 sekolah di seluruh negara sama ada dibekalkan mengikut spesifikasi kontrak yang ditetapkan atau sebaliknya.

"1BestariNet masih dalam siasatan, kita melihat antaranya melibatkan mutu perkhidmatan diberikan kepada sekolah-sekolah dan kedua, jika ada pembekalan data kepada sekolah terlibat (tetapi) sebenarnya tidak dibekalkan.

"Mengikut kontrak, 1BestariNet perlu membekalkan perkhidmatan Internet kepada sekolah di seluruh negara mengikut kelajuan dan jumlah data ditetapkan. Jadi, kita perlu lihat perkara ini kerana di bawah undang-undang sekiranya sesuatu tuntutan melibatkan perkhidmatan dibuat tetapi ia tidak dibekalkan, ia satu kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali ketiga di sini hari ini yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Azam berkata siasatan itu dijangka mengambil sedikit masa berikutan pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut di semua sekolah di seluruh negara.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd  (YTL) pada 2011.

Mengulas mengenai kes counter setting, Azam berkata pihaknya sedang menyiasat sebuah syarikat milik seorang lelaki wanga Bangladesh yang menjalankan urusan membawa masuk pekerja asing dari negara itu ke Malaysia.

Pasukan penyiasat katanya, sedang mengumpul maklumat daripada dokumen yang dirampas daripada syarikat berkenaan sama ada terdapat pembayaran wang suapan terhadap mana-mana pihak agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai apa-apa sistem untuk merekodkan kemasukan pekerja asing yang dibawa masuk sedangkan peraturan menetapkan mana-mana syarikat yang menjadi orang tengah dalam membawa masuk pekerja asing perlu mempunyai sistem bagi merekodkan dan mengesan keberadaan pekerja asing terbabit.

"Walaupun tidak mempunyai apa-apa sistem, namun syarikat ini menjadi orang tengah dalam membawa pekerja asing ke sini melalui pelbagai cara antaranya sebagai pelancong," katanya.

Mengulas lanjut, Azam berkata siasatan melibatkan 50 pegawai penguat kuasa yang terbabit dalam kes counter setting sedang disiapkan.

Beliau berkata secara prinsipnya, siasatan berhubung kes itu sudah berakhir apabila semua dalang atau anggota penguat kuasa terlibat sudah dirakam percakapan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pegawai SPRM.  

Katanya, SPRM kini hanya ingin menentukan sama ada akan dilakukan pertuduhan atau tidak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan