Polis Tahan Keldai Akaun, Mangsa Rugi Lebih Rm50,000,

26/09/2024 08:49 PM

BALIK PULAU, 26 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan urusan kerja sambilan melalui aplikasi beli-belah dalam talian hingga menyebabkan mangsa kerugian RM57,184 baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan semalam oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya di sini.

"Berdasarkan laporan diterima, mangsa pada April lepas telah mengenali seorang lelaki menerusi aplikasi Tinder dan ditawarkan kerja sambilan secara dalam talian menggunakan sebuah aplikasi beli-belah sebelum diberikan satu pautan (link) yang memaparkan barangan keperluan harian seperti bag, jam tangan dan pakaian.

"Mangsa dijanjikan keuntungan 20 peratus bagi setiap tugasan yang berjaya dilakukan iaitu hanya perlu membuat pembelian barangan yang dipaparkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata terpedaya dengan janji tersebut, mangsa telah membuat 10 transaksi ke dalam akaun termasuk milik lelaki tersebut dari 6 Mei hingga 5 Jun lepas melibatkan keseluruhan RM57,184.

Kamarul berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan lelaki tersebut kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan