Kastam Pulau Pinang Serbu Gudang Dijadikan Stor Simpan Minuman Keras Tidak Bercukai

27/09/2024 03:28 PM

BUTTERWORTH, 27 Sept (Bernama) -- Taktik sindiket penyeludupan minuman keras yang menjadikan sebuah gudang di kawasan kilang sebagai stor penyimpanan terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat serbuan ke premis yang terletak di Bukit Tengah di sini pada 1 Sept lepas.

Pengarah JKDM Pulau Pinang Datuk Roselan Ramli berkata serbuan kira-kira pukul 9.30 pagi itu dilakukan sepasukan anggota Cawangan Risikan dan Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang hasil maklumat serta risikan.

Ketika serbuan dijalankan, beliau berkata terdapat dua individu sedang memindahkan sejumlah minuman keras jenis bir dan likuor di dalam sebuah van dan lori yang diletakkan berhampiran gudang terbabit, yang cuba melarikan diri, tetapi berjaya dipintas oleh anggota operasi.

“Hasil pemeriksaan menemukan 27,904 tin minuman keras jenis bir dan 3,441 botol likuor disyaki tidak berkastam di dalam gudang dan juga kedua-dua kenderaan itu yang dianggarkan bernilai RM158,621.10 melibatkan duti berjumlah RM438,884.37.

“Hasil risikan mendapati modus operandi yang digunakan penjenayah ini adalah dengan menyimpan minuman keras tidak berkastam di gudang yang terletak di kawasan terpencil dan akan berpindah tempat dalam tempoh tertentu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.

Roselan berkata siasatan awal turut mendapati premis itu baru disewa kira-kira sebulan lepas dan usaha sedang giat dilakukan bagi mengesan dalang sindiket dan juga pemilik gudang terbabit.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 manakala kedua-dua individu berumur 28 dan 57 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan, telah dilepaskan dengan jaminan pihak kastam.

Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan, Roselan berkata pihaknya telah menahan dua kontena di Westport, Pelabuhan Klang, Selangor pada 11 Sept lepas dan menjumpai 103,200 tin bir dianggarkan bernilai RM438,600 melibatkan duti kastam berjumlah RM2.013 juta.

“Sindiket didapati mengikrar dagangan sebagai Truck Steel Rim, bagaimanapun siasatan mendapati dagangan sebenar ialah minuman keras jenis bir yang tidak memiliki permit import.

“Berdasarkan siasatan awal, dagangan ini disyaki berasal dari China. Kontena-kontena terbabit pula dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan diimport oleh sebuah syarikat berstatus Sendirian Berhad di Kuala Lumpur,” katanya yang turut memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek terlibat.

Kontena-kontena itu katanya, telah dibawa ke Kompleks Pencegahan Negeri JKDM Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut dengan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan