Polis Siasat Penemuan Lapan Tong Disyaki Bahan Kimia Di Sungai Buloh

27/09/2024 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Polis menjalankan siasatan berhubung penemuan lapan tong berisi cecair disyaki sisa bahan kimia yang dibuang ke dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh dekat sini Selasa lepas. 

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana bencana terhadap tali air. 

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hussein berkata sampel bahan itu sudah diambil dan diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk analisis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Nor Aziah Jaafar berkata lapan tong berkenaan sudah dibawa ke tapak pelupusan selamat di Bukit Tagar dekat sini malam tadi. 

“Semakan awal yang dilakukan mendapati sisa kimia berkenaan disyaki sebagai larutan ammonia. Siasatan masih dijalankan bagi mengesan pelaku,” katanya.

Semalam, media melaporkan lapan tong berisi cecair dipercayai sisa kimia dibuang ke dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima maklumat berhubung kejadian pada 9 malam, Selasa.

Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM turut membantu membersihkan lokasi kejadian dan mengambil sampel bahan kimia terbabit.

Selain itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin dilaporkan berkata pemerhatian Lembaga Urus Air Selangor mendapati alur parit terbabit memasuki Sungai Gasi seterusnya ke Sungai Buloh dan tiada muka sauk loji rawatan air berada di hilir aliran berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan