1,916 Warga Emas Jadi Mangsa Penipuan Dalam Talian, Kerugian RM255 Juta

28/09/2024 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Seramai 1,916 warga emas menjadi mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini melibatkan kerugian berjumlah lebih RM255 juta. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata walaupun bilangan mangsa warga emas adalah kecil berbanding kelompok umur yang lain, nilai kerugian melibatkan golongan itu tinggi, sekali gus menjadikan mereka sasaran berkualiti.

“Sepanjang tiga tahun (2021 hingga 2023), sejumlah 86,266 individu telah menjadi mangsa kepada jenayah penipuan dalam talian dan daripada jumlah tersebut, 5,533 mangsa atau 6.4 peratus adalah dalam kalangan individu berumur 61 tahun ke atas iaitu warga emas.

“Angka yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini iaitu daripada 21,535 kes penipuan dalam talian yang direkodkan hingga Ogos 2024, 1,916 mangsa atau 8.9 peratus ialah warga emas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh tiga tahun itu, jumlah kerugian dicatatkan bagi kes penipuan dalam talian ialah RM2.7 bilion dan daripada jumlah itu, kerugian melibatkan mangsa warga emas ialah RM550 juta bersamaan 20 peratus.

“Hal yang sama direkodkan bagi tahun 2024, iaitu hingga Ogos, kerugian melibatkan mangsa warga emas telah mencecah RM255 juta atau bersamaan 27.9 peratus daripada keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM914 juta,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan mustahak untuk informasi pencegahan jenayah komersil khususnya penipuan dalam talian disampaikan kepada warga emas dan ahli keluarga digesa agar menasihati ibu bapa, saudara atau kenalan agar sentiasa berwaspada dan tidak melayan atau mempercayai sebarang panggilan mencurigakan.

“Tindakan mempercayai serta menuruti semua arahan yang diperoleh melalui telefon akan meletakkan mangsa dalam risiko jenayah samun atau rompak, sebaiknya bagi tujuan pengesahan, semakan semula dengan agensi terlibat dengan menghubungi nombor telefon yang diperoleh dari laman sesawang rasmi,” katanya.

Beliau berkata penipuan dalam talian boleh dicegah sekiranya mangsa mempunyai pengetahuan dan sentiasa berwaspada dengan kemungkinan berlakunya jenayah itu dan setiap individu perlu memainkan peranan selaku penyebar mesej kesedaran jenayah komersil.

Ramli juga memaklumkan seorang pesara wanita berusia 72 tahun kerugian lebih RM600,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai polis menerusi telefon pada 20 Sept lepas.

Beliau berkata wanita berkenaan menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dari Unit Khidmat Pelanggan, Putrajaya memberitahu nombor telefon mangsa telah disalahgunakan dalam kes jenayah siber.

Katanya individu itu kemudian mengarahkan mangsa memohon perlindungan data peribadi serta perlindungan dana sebelum menyambung panggilan kepada individu lain yang menyamar sebagai polis.

“Mangsa kemudian dimaklumkan turut terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan bagi tujuan siasatan mangsa diarah mengumpulkan semua wang simpanannya ke satu akaun bank milik mangsa sendiri dan maklumat perbankan itu diberikan kepada pihak ‘polis’.

“Mangsa juga diarahkan menyerahkan semua barang kemas dan bar emas kepada individu yang datang mengambil barangan tersebut di rumah mangsa, secara keseluruhan, mangsa mengalami kerugian wang tunai, barang kemas, dinar emas dan bar emas bernilai RM670,994,” katanya dan menambah laporan polis berhubung kes itu diterima semalam dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan