Polis Tahan 15 Individu Disyaki Terlibat Dengan Kegiatan Pelacuran Dalam Ops Noda

29/09/2024 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Polis menahan 11 wanita warga asing disyaki pelacur dan empat lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘penghantar’ dalam serbuan di beberapa premis sekitar ibu negara, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bandar raya SAC Mohd Razali Mohd Idrus berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan 21 hingga 47 tahun itu ditahan selepas Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) JSJ Kuala Lumpur menyerbu tiga hotel dan sebuah residensi dalam Ops Noda yang bermula pukul 9 malam.

Beliau ketika dihubungi Bernama memberitahu bahawa polis berjaya membongkar kegiatan pelacuran itu selepas mengenal pasti satu laman web yang menawarkan khidmat pelacur dari Thailand, Indonesia dan Vietnam, dengan bayaran ditawarkan bermula dari RM400 sejam.

Beliau berkata semua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mohd Razali berkata dalam serbuan itu pihaknya turut merampas tiga kereta dan 16 telefon bimbit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan