Sindiket Jadikan Kereta Sebagai Stor Dadah Tumpas

29/09/2024 05:34 PM

JOHOR BAHRU, 29 Sept (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan dua kereta sebagai stor bergerak sejak Mei lepas dengan penahanan empat lelaki termasuk dalang, Rabu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata kesemua yang berusia antara 29 hingga 49 tahun itu ditahan di Kulai dan Skudai di sini.

“Modus operandi sindiket ini ialah mendapatkan bekalan dadah dari Kuala Lumpur sebelum dibungkus semula dalam saiz peket lebih kecil dan disimpan di dalam but kereta terbabit.

“Mereka kemudian akan membawa bungkusan kecil dadah itu ke beberapa lokasi yang memang dikenali merupakan sarang penagih di sekitar bandar raya ini untuk dijual,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dadah dirampas terdiri daripada 55.9 kilogram (kg) ganja ketulan mampat, heroin (11.7 kg), syabu (122.7 gram), pil eramin (21 gram) dan pil ekstasi (70 gram) dengan keseluruhan bernilai RM309,192.

“Sekiranya dadah ini masih berada di pasaran, ia boleh digunakan sebanyak 115,712 penagih,” katanya sambil menambah dua kereta, sebuah motosikal, seutas rantai dan wang tunai bernilai keseluruhan RM120,173 turut dirampas.

Kumar kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan dadah dan jenayah manakala dua daripada mereka positif terhadap dadah.

Mereka direman seminggu hingga 2 Okt ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata polis telah menahan 18,868 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah di negeri ini sejak 1 Jan hingga Khamis lepas melibatkan rampasan 4.14 metrik tan dadah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan